Baru-baru ini aku berkesempatan menonton Drama Cinta Laila Majnun yang disiarkan di Astro. Daripada drama tersebut terdapat pengajaran yang kita boleh ambil untuk dijadikan iktibar, lebih-lebih lagi kepada pasangan muda-mudi yang sedang hangat bercinta.
Drama Cinta Laila Majnun mengisahkan tentang seorang pelajar tahfiz bernama Khalid yang begitu mencintai seorang gadis bernama Laila. Percintaan Khalid dengan Laila tidak mendapat restu keluarga Laila disebabkan perbezaan darjat. Bila cinta tak kesampaian, Khalid tidak dapat menerima hakikat ketentuan takdir dengan menyalahkan Tuhan sehingga dia menjadi gila setelah Laila hendak dinikahi kepada pemuda lain. Setelah hidup seperti orang gila yang berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain selama 3 tahun, Khalid ditakdirkan bertemu dengan Laila kembali.
Setelah bertemu kembali, Laila memberitahu Khalid, dia tak jadi berkahwin dengan pemuda yang ingin dikahwinkan oleh keluarganya dulu dan dia masih sendiri. Bila Khalid terdengar berita itu, dia seperti tersedar daripada penyakit gilanya dan dia cakap “Tuhan telah makhbulkan doa dia dan Laila”. Selepas itu, mereka terus berkahwin bila keluarga Laila merestui hubungan mereka.
Setelah beberapa lama, Laila pun mengandung. Sewaktu hendak melahirkan anak berlakunya komplikasi, sehingga mengakibatkan Laila meninggal dunia. Bila Laila meninggal dunia, Khalid tak dapat menerima hakikat ketentuan takdir sekali lagi dan dia terus menyalahkan Tuhan dengan mengatakan Tuhan terlalu kejam untuknya. Kemudian, Khalid telah menjadi gila kembali sehingga akhirnya di penghujung cerita dia tersedar akan kesilapannya yang menyintai Laila melebihi kecintaan kepada Tuhan.
Iktibar pertama yang kita boleh ambil daripada drama ini adalah tentang sikap Khalid yang hanya bersyukur kepada Tuhan disaat dia senang atau sewaktu permintaannya dikhabulkan Tuhan sahaja. Bila dia susah atau permintaannya tidak dimakbulkan Tuhan, dia terus menyalahkan Tuhan atau takdir. Ini satu sikap yang tak sepatutnya dicontohi kita, bila senang kita ingat Tuhan, bila susah kita lupa Tuhan.
Iktibar kedua yang kita boleh ambil daripada drama ini adalah sikap Khalid yang terlalu mencintai Laila sehingga melebihi segala-galanya termasuk kecintaan kepada Tuhan. Bila cintanya tak kesampaian, dia terus tak dapat menerima hakikat dengan menyalahkan takdir sehingga dia menjadi gila. Bila Laila meninggal dunia sewaktu melahirkan anak, dia menyalahkan takdir lagi sehingga dia menjadi gila sekali lagi. Inilah jadinya kalau kita mencintai sesuatu lebih kepada kecintaan pada Tuhan.
Sesetengah daripada kita, bila kita menyayangi seseorang yang bergelar kekasih, kita menyayangi sepenuh hati sehingga mengatasi segala-galanya termasuk kecintaan kepada Tuhan. Bila cinta tak kesampaian mulalah nak memberontak, bunuh diri atau menjadi gila seperti yang berlaku kepada Khalid. Dalam hidup ini Tuhan tak jadikan kita untuk bercinta tetapi untuk beribadah kepada-Nya. Jadi, tak perlu nak bercinta bagai nak rak kepada pasangan yang belum tentu menjadi suami atau isteri kita.
Kalau ada orang kata, kita hanya boleh jatuh cinta atau terpikat kepada hanya seorang perempuan atau lelaki sahaja dalam hidup kita, itu adalah pembohong. Sebenarnya dalam hidup kita, kita boleh terpikat kepada lebih daripada seorang perempuan atau lelaki. Maksudku disini, sekiranya perhubungan kita dengan seorang lelaki atau perempuan tak kesampaian, kita tak perlu risau kerana kita boleh terpikat lagi kepada lelaki atau perempuan yang lain pula. Jadi, sekiranya hubungan cinta kita terputus di tengah jalan tak perlulah nak pening-peningkan kepala memikirkan cinta yang dah pergi itu, carilah aje pasangan yang lain.
No comments:
Post a Comment