Thursday, February 6, 2014

Salam Jumaat Penghulu Segala Hari


“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan semulia-mulia hari di sisi Allah.”

  • Imam Al-Ghazzali berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu dijadikan Adam a.s. dan pada hari Jumaatlah terjadinya kiamat.
  • Imam Al-Ghazzali menambah bahawa Kaab Al-Ahbar (seorang tabien dan ulama yahudi yang memeluk agama islam pd zaman Saiyidina Abu Bakar) berkata burung-burung dan haiwan apabila bertemu satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan “Selamat, selamat hari yang baik”.

Hari ini juga adalah hari di mana segala amalan kita ditunjukkan kepada Baginda Nabi SAW sebagaimana dinyatakan dalam hadits "tu'radhul a'maal" yang masyhur, yang menyatakan:-


Segala amalan dibentangkan kepada Allah pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis. Dan dibentangkan kepada para Nabi dan para ibubapa pada hari Jumaat, maka mereka bergembira dengan (melihat) segala kebaikan mereka yang hidup tersebut dan bertambah bercahaya wajah-wajah mereka serta bersinar-sinar. Maka bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menyakiti orang-orang mati kamu (yakni dengan melakukan dosa dan maksiat yang menyebabkan kesedihan kepada si mati).

Hari ini juga adalah hari ucapan shalawat kita kepada Junjungan Nabi SAW akan dipersembahkan terus kepada baginda, sebagaimana dinyatakan dalam banyak hadits, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Perbanyakkanlah bersholawat ke atasku pada setiap hari Jumaat, kerana shalawat umatku dibentangkan / dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang banyak bershalawat ke atasku, jadilah mereka orang yang paling hampir kedudukannya denganku."

Marilah kita rebut peluang keemasan ini dengan sebaik-baiknya. Basahkan lidah dengan ucapan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Moga ungkapan shalawat kecintaan tersebut meresap ke hati sanubari kita dan menumbuhkan pohon - pohon mahabbah yang sejati kepada Baginda Nabi SAW. Ingat senantiasa bahawa sesiapa yang kasihkan sesuatu atau seseorang, pasti dia akan banyak menyebut dan mengingatinya. Ingat juga bahawa seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihinya.

اللهم صل على النبي الهاشمي
سيدنا محمد و على آله و صحبه
و سلم تسليما

No comments:

Post a Comment

Popular Posts