Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s. a. w. bersabda :”Apabila kamu melihat bahawa Allah
Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat
maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh
Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang
terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang
kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan
maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak
dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah
Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.
Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari
semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan
sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup
mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula
orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya
tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup
kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah,
orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak
kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong,
Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di
muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik
Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai
masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.
Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat
maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada
orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu
beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah
beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat
tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang
Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk
menghancurkannya.
Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk
membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya”
(Kitab Nasaibul’Ibad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah
batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak
membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap,
anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia
akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba
hendak melawan Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin
pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain
selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum
mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya
tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.
Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud?
Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya
disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.
Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya
sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan
bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita
kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.
Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala
keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan
orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan
oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya
adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa
keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan
kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj.
Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya
untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan
pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti
ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita
cari.
Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk
menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari
hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah
apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan
kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.
Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian
yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan
Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment