KUALA LUMPUR: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia awal pagi tadi di Pusat Perubatan Pakar Damansara.
Allahyarham yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.26 akibat jangkitan pada paru-paru.Allahyarham telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada Selasa.Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu. Kak Pah dimasukkan ke hospital oleh anaknya, Aliff Omar susulan kesukaran bernafas awal pagi Isnin.
Sharifah Aini anak pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953.Namun sejak usia lapan bulan lagi, Kak Pah mula dijaga serta dibesarkan oleh neneknya, Tengku Wan Mariam Tengku Wan Tahir serta datuknya, Syed Sahil Syed Ali Al-Jufry, di Majidee, Johor Bahru.Datuknya seorang pemandu teksi dan kehidupan mereka keluarga bukanlah senang.
Kak Pah sewaktu kecil pernah mengambil upah menggiling cili dan menjual buah nangka serta kuih.Titik tolak Kak Pah menjadi artis adalah selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam.
Beliau kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan label itu selama 38 tahun.Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album.Kak Pah menerima gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006.
No comments:
Post a Comment